Saturday, February 26, 2011

Hero dan heroin GBPSM di AGM SWAM. Bravo!

Senarai hero dan heroin GBPSM yang telah bertanding dan menghadiri AGM SWAM pada 12 Feb, 2011 di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur jam 8:30 pagi:

  1. Adza Irdawati Adenan (tidak dapat mengundi atas alasan yang mencurigakan)
  2. Adzim Shahabudin (tidak dapat mengundi atas alasan yang mencurigakan)
  3. Alfie Palermo (bertanding jawatan AJK)
  4. Dato' Aripin Said (bertanding jawatan Presiden)
  5. Jamaluddin Jaafar
  6. Laqman Al-Jefri (tidak dapat mengundi atas alasan yang mencurigakan)
  7. Maizura Mohd Ederis (bertanding jawatan Bendahari)
  8. Martias Mohd Ali (bertanding jawatan Naib Presiden & AJK)
  9. Mat Piah Teh Deris (bertanding jawatan Naib Setiausaha)
  10. Mazelan Manan
  11. Mohd Khairul Shah
  12. Mohd Rohizan Ramli
  13. Mohd Yusoff Mohamed (bertanding jawatan Setiausaha)
  14. Nor Faznita Bt Md Nor
  15. Norhaidatul Azian (bertanding jawatan AJK)
  16. Nurmaizan Othman
  17. Sakinah Abu Bakar
  18. Shahazril Hamzah (bertanding jawatan pemeriksa kira-kira dan MENANG)
  19. Shariman Wahap (bertanding jawatan Naib Presiden dan AJK)
  20. Zabidi Mohamed (bertanding jawatan AJK)

Setelah berjumpa buat kali pertama pada 21 Feb, 2010 di Wisma Bernama dan berjumpa untuk beberapa kali lagi hingga ke tahun 2011, akhirnya GBPSM berjaya menghantar wakil untuk bertanding di AGM SWAM 2011 dan berjaya mendapatkan sokongan beberapa ahli untuk hadir mengundi rakan yang bertanding pada AGM tersebut.

Ini bukan satu usaha yang mudah. Para penulis skrin selama ini tidak begitu berhubung rapat, ramai yang tidak mengenali satu sama lain, masing-masing buat hal masing-masing. Namun perjumpaan di Wisma Bernama dahulu telah menjadi titik tolak untuk beberapa penulis yang ikhlas mahu mempertabatkan maruah penulis skrin untuk terus bergabung dan mengenali hati budi masing-masing dan memberikan kepercayaan kepada rakan-rakan yang lain untuk menjadi peneraju bagi memperjuangkan nasib penulis skrin di Malaysia.

Kepada rakan-rakan yang telah menaruh leher masing-masing untuk bertanding di AGM SWAM yang lepas, saya ucapkan tahniah. Kerana kepercayaan mereka kepada rakan-rakan lain di GBPSM (meskipun mungkin ada antara mereka yang berasa cuak) mereka sanggup bertanding. Kepada rakan-rakan yang hadir untuk mengundi juga tahniah dan terimakasih! Anda telah menunjukkan satu tahap keikhlasan yang tinggi dan 'walk the talk'! Ramai yang menyatakan sokongan namun anda bukan setakat menyatakan namun membuktikan! Anda hadir untuk mengundi! Itu sebab saya gelar anda semua hero dan heroin!

Saya secara peribadi menganggap kita semua menang kerana berjaya untuk memenuhi misi kita untuk menghantar wakil untuk bertanding dan mengundi pada AGM SWAM tersebut. Saya pada mulanya kurang yakin kita akan berjaya memenuhi misi ini kerana kita tidak begitu mengenali antara satu sama lain, oleh itu mungkin susah untuk kita bergabung dan bertanding di AGM SWAM. Namun alhamdullilah akhirnya dapat juga GBPSM menghantar satu pasukan untuk bertanding. Dan yang paling disyukurkan juga ada ialah apabila ada ahli-ahli GBPSM yang hadir untuk mengundi untuk rakan-rakan yang lain.

Dato' Aripin menyatakan sesuatu kepada saya selepas tamat AGM. Beliau berkata 'Faznita, all of us did a great job, kita semua tak pecah undi, dan stick untuk rakan-rakan..' Apa yang Dato' Aripin cakap itu betul. Kita telah buat sesuatu yang membanggakan pada hari tersebut. Dalam usia perkenalan di antara kita yang agak singkat kita tetap fokus dan bergabung dalam usaha mempertabatkan maruah penulis skrin di Malaysia. Bagi saya inilah kejayaan.

Semua sudah maklum di atas kertas GBPSM kalah di AGM tempohari. Hanya Shahazril Hamzah yang menang jawatan Pemeriksa Kira-Kira. Tetapi seperti juga untuk semua perkara yang lain, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin AJK SWAM yang menang akan bekerja lebih keras dan effektif kerana sedar akan tentangan yang ada di kalangan ahli yang tidak berpuashati dengan prestasi SWAM selama ini. Mungkin juga AJK SWAM akan terus dengan kealpaan mereka, menindak dan menafikan prestasi lemah SWAM selama ini , dan kealpaan mereka ini mungkin akan memakan diri mereka sendiri dengan lebih teruk lagi.

Bagi GBPSM pula kekalahan ini mungkin memberi ruang kepada GBPSM untuk terus mengenali dan menjumpai ahli-ahli yang dinamis untuk diangkat menerajui perjuangan mempertabatkan penulis skrin di Malaysia. Mungkin juga kekalahan kali ini sebagai hadiah daripada Allah swt untuk GBPSM terus mengumpul permata-permata yakni penulis-penulis yang berhati mulia untuk bersahabat sesama mereka dan sama-sama berjuang dengan tujuan murni agar penulis-penulis di Malaysia terus meningkatkan kualiti penulisan mereka dan menghasilkan skrip-skrip yang bermutu yang menyumbang kepada ketamadunan yang positif.

Saya berfikir GBPSM juga dapat menyumbang di dalam mempertabatkan profesyen penulisan skrin di Malaysia dari luar SWAM. Sekiranya GBPSM effektif di dalam peranannya sebagai kumpulan pendesak kepada SWAM, menggegarkan SWAM dari luar, ini juga sesuatu yang positif untuk industri penulisan skrin negara. Sesebuah negara perlu mempunyai barisan pembangkang kerajaan yang baik untuk menjadikannya lebih berjaya. Begitu juga SWAM??

Thursday, February 24, 2011

SELAMAT ULANG TAHUN YANG PERTAMA GBPSM!

Saya berada di Alor Setar untuk beberapa hari atas urusan kerja. Sedang bertungkus lumus untuk menyiapkan satu dokumentari. Tidak sempat untuk membuat posting di blog sempena ulang tahun pertama Gabungan Bebas Penulis Skrin Malaysia yang jatuh pada 21 Feb, 2011.

Ada satu majlis sambutan sempena sambutan hari ulang tahun GBPSM akan dibuat tidak lama lagi. Saya antara yang akan menguruskannya. Akan curi masa untuk menjayakannya majlis sambutan ini. Kepada ahli-ahli GBPSM di laman facebook dijemput untuk memeriahkan majlis dan mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan ahli-ahli yang lain yang kini menjangkau 780 ahli.

Maklumat lanjut tentang majlis sambutan akan saya kongsi setelah mendapat satu ketetapan yang lebih terperinci. Lawat blog Maizura Mohd Ederis untuk maklumat tambahan - http://tangisanbulanmadu.blogspot.com/2011/02/gabungan-bebas-penulis-skrip-malaysia_24.html

Friday, February 18, 2011

Pendirian Gabungan Bebas Penulis Skrip Malaysia Tentang Pencalonan GBPSM di AGM SWAM 2011

Pendirian GBPSM ini diambil dari tulisan Puan Maizura Mohd Ederis di perbincangan antara ahli-ahli GBPSM di media internet pada Februari 2011.

Pendirian GBPSM :

1. Tidak sekali-kali merendah-rendahkan kredibiliti barisan kepimpinan SWAM yang sedia ada sekarang secara terbuka. Malah kita menghormati mereka dan sentiasa mengutamakan pandangan mereka. Ada diantara kepimpinan SWAM yang sedia ada sekarang yang dirujuk oleh GBPSM tentang pelbagai perkara. Jikalau GBPSM memperkecilkan kepimpinan sedia ada, GBPSM tidak akan menghubungi mereka setiap kali ada perjumpaan.

2. Tidak sekali-kali memperkecilkan karya, prinsip penulisan atau apa jua usaha penulisan rakan-rakan seangkatan secara terbuka di khalayak ramai. GBPSM menghormati semua orang dan mahu bekerjasama dengan semua pihak. Jikalau hendak memberi komen tentang karya rakan seangkatan, buat secara berdepan, hantar SMS, emel atau apa saja dan bincang lah secara sihat demi mempertingkatkan kualiti industri.

3. GBPSM mempunyai satu misi yang jelas yakni mempertingkatkan martabat penulis melalui layanan yang adil - misalnya sama seperti layanan yang diberikan terhadap pengarah dan pelakon - samada dari segi bayaran, kontrak, pendedahan di media, pendedahan di majlis-majlis anugerah, pelancaran, etc. Misi ini sederhana tetapi jelas dan bermanafaat utk penulis dan rata-rata penulis menyokong misi ini.

4. Buat masa ini GBPSM dengan sengajanya telah menjauhkan diri dari media kerana kita tak mahu dilihat seperti "ALL SHINE BUT NO SUBSTANCE" atau apa saja kontroversi atau provokasi oleh pihak media.

5. GBPSM menumpukan kepada penghasilan karya yang berkualiti dan produktif utk meningkatkan martabat penulis dan industri juga.

6. GBPSM sebenarnya sederhana dan realistik. Di dalam rekod kita menunjukkan terdapatnya sekitar 50-60 penulis yang aktif dan produktif dalam industri yang merupakan ahli SWAM, bukan SWAM, freelance dan in house, mainstream dan indie, Melayu dan bukan Melayu. Jumlah ini cukup untuk melumpuhkan industri kalau kita pakat 'boikot' tak mahu menulis.

7. Terdapat dua kemungkinan yang akan wujud dengan pencalonan wakil dari GBPSM bertanding di AGM SWAM 2011:

a) Pergi AGM dan menang

b) Pergi AGM dan kalah dan akan bertanding lagi pada tahun 2013 dengan penyokong yang lebih mantap.

Saya suka dengan kedua-dua kemungkinan ini. Sebab kita tak akan rugi apa-apa kalau nombor 2 terjadi. Kita tetap dapat menulis dengan projek-projek penulisan skrip yang sedia ada. InsyaAllah kehidupan selesa sekarang tak akan terjejas dengan kekalahan kita. Jikalau nombor 1 yang terjadi, kita pulak kena korbankan masa yang berharga ini untk menyakan misi GBPSM di atas. Namun saya yakin sekiranya GBPSM dalam mencapai misinya, secara keseluruhannya kehidupan sebagai penulis skrip di Malaysia ini akan lebih bermartabat dan lebih menguntungkan.

Hasil Pertemuan Gabungan Bebas Penulis Skrip Malaysia yang Ke - 4 pada 22 Januari, 2011

** Makluman - posting dibawah ini sepatutnya di uploadkan lebih awal namun baru ada kesempatan untuk berbuat sedemikian. Selamat membaca.

Pertemuan GBPSM yang Ke-4 telah berlansung seperti berikut:

Tarikh : 22 Januari 2011 [Sabtu]
Masa : 3ptg
Tempat : Tugu View Cafe, Dekat Tugu Negara
Kehadiran: 18 ahli

Hasilnya:
1. Perjumpaan ke-4 petang tadi telah mengesahkan perlantikan ahli-ahli ikut sebagai calon-calon kabinet bayangan yang akan bertanding di AGM SWAM pada 12 Feb ini di Angkasapuri.i.

i. Martias Mohd Ali
ii. Zabidi Mohamed
iii. Norhaidatul Azian
iv. Maizura Mohd Ederis


2. Memandangkan ramai ahli kabinet bayangan yang telah dipilih pada Pertemuan yang Ke-3 dahulu (berlangsung pada 17 Oktober, 2010) tidak hadir pada mesyuarat kali ini maka pengesahan ke atas pencalonan mereka tidak dapat dilakukan. Ahli mesyuarat tidak dapat memastikan samada calon-calon tersebut benar-benar berminat untuk bertanding pada AGM SWAM nanti. Pengesahan akan dilakukan secepat mungkin dengan menghubungi calon-calon tersebut secara persendirian.


3. Beberapa ahli telah mendaftar sebagai Ahli SWAM dan beberapa lagi borang keahlian daripada anggota GBPSM akan diserahkan kepada pihak SWAM di dalam masa terdekat.

Hasil Pertemuan Gabungan Bebas Penulis Skrip Malaysia yang Ke - 3 pada 17 Oktober, 2010

** Makluman - posting dibawah ini sepatutnya di uploadkan lebih awal namun baru ada kesempatan untuk berbuat sedemikian. Selamat membaca.
Pertemuan GBPSM yang Ke-3 telah berlangsung dengan jayanya seperti berikut:

Tarikh : 17 Oktober 2010 [Ahad]
Jam : 3 ptg
Tempat : Bangi Kopitiam, Tmn Melawati.
Kehadiran: 19 ahli


1. Dalam perjumpaan yang ke-3 ini majoriti ahli yang hadir telah bersetuju untuk 'bersuara' dan 'bergerak' melalui platform SWAM.

2. Agenda utama ialah 'menukar' teraju kepimpinan SWAM melalui Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan yang akan datang iaitu pada Februari 2011.


3. Sehubungan itu, mereka yang hadir pada 17 Oktober lalu telah mencalonkan 14 penama sebagai ahli 'Kabinet Bayangan' yang akan bakal bertanding di Mesyuarat Dwi-Tahunan SWAM nanti. Manakala satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi untuk membincangkan pelan tindakan selanjutnya untuk tujuan ini.


4. Ahli yang tidak terpilih di dalam 'Kabinet Bayangan' telah menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama dan sokongan bagi membantu dalam usaha ini.

5. Mana-mana ahli yang berminat menganjurkan perjumpaan santai di mana-mana, untuk tujuan silaturrahim, perkongsian pengalaman dan sebagainya sangat dialu-alukan.


6. Harap maklum dan terima kasih kepada semua yang hadir semalam dan juga kepada yang tidak dapat hadir tetapi tetap menyokong.