Monday, March 15, 2010

Prosedur Penerbitan Drama Episod untuk Stesyen TV3 - ILUSI

Saya telah ditawarkan untuk menulis skrip satu drama episod bagi slot AKASIA di TV3 bertajuk 'ILUSI'.

Sedikit butiran tentang prosedur penerbitan drama bersiri di atas berdasarkan pengalaman saya.

1. Syarikat penerbitan telah mendapat kelulusan unit drama TV3 atau dikenali sebagai (BMG) untuk konsep cerita bertajuk 'Ilusi' bagi slot Akasia untuk 24 episod x 1 jam tayangan.

2. Saya di tawarkan untuk menulis skrip 'Ilusi' oleh syarikat penerbitan.

3. Mesyuarat dengan syarikat penerbitan pada 12 Feb, 2010 untuk mengetahui lebih lanjut tentang cerita bagi menyediakan sinopsis episodik untuk kelulusan TV3.

4. Email sinopsis episodik kepada syarikat penerbitan pada 19 Feb, 2010.

5. Syarikat penerbitan memberi komen untuk perubahan kepada sinopsis episodik pada 20 Feb, 2010.

6. Buat perubahan kepada sinopsis episodik dan email semula kepada syarikat penerbitan pada 22 Feb, 2010.

7. Syarikat penerbitan email sinopsis episodik kepada pihak TV3 dan mendapat komen dari pihak TV3 untuk perubahan kepada sinopsis tersebut pada 25 Feb, 2010.

8. Syarikat penerbitan menyuruh perubahan di buat mengikut cadangan TV3 pada 26 Feb, 2010.

9. Email sinopsis episodik kepada syarikat penerbitan setelah membuat perubahan mengikut cadangan pihak TV3 pada 1 Mac, 2010.

10. Mesyuarat penerbitan dengan pihak TV3 untuk membincangkan tentang sinopsis episodik pada 15 Mac, 2010. Mesyuarat dihadiri penerbit, penerbit eksekutif, penulis (saya) dan tiga kakitangan dari BMG.

11. TV3 meminta sinopsis episodik yang lebih pendek bersesuaian dengan tujuan promosi drama diemail oleh saya kepada mereka selewatnya Rabu, 17 Mac, 2010.

12. Saya perlu menulis skrip secepat mungkin! Shooting drama akan bermula seawal April, 2010!

13. Saya telah menekankan kepada penerbit sekali lagi bahawa satu episod bagi drama tayangan 1 jam memerlukan sekurang-kurangnya 3 hari untuk disiapkan. Oleh itu masa terlalu suntuk untuk menyiapkan skrip yang cukup bagi memulakan shooting. Tiada pilihan. Apa-apa pun saya perlu bekerja dengan terlalu pantas bagi menyiapkan skrip untuk drama ini.

14. Tayangan drama dijangka pada 21 June, 2010.

15. Syarikat penerbitan perlu memberi lagi beberapa nama cadangan pengarah, pelakon, lagu tema.

16. Syarikat penerbitan juga perlu menyediakan montaj drama ini sendiri untuk tujuan promo. Montaj sebaiknya perlu dibuat shooting berasingan khas untuk tujuan montaj sahaja supaya tidak kelihatan tipikal seperti montaj-montaj yang biasa seperti yang selalunya.

17. Pihak TV3 mahu mengadakan satu lagi mesyuarat penerbitan dengan syarikat penerbitan dan pengarah drama bagi membincangkan lagi tentang penerbitan drama ini pada satu tarikh yang bakal ditetapkan tidak lama lagi.

18. Selamat menulis Faznita!

Saturday, March 13, 2010

Prosedur Penerbitan Drama Telefilem untuk Stesyen TV RTM - Jalan Lain Ke Madinah 2

Sedikit maklumat tambahan tentang penerbitan drama di atas sambungan daripada 'posting' yang pertama:

1. Bermesyuarat kali kedua dengan pihak RTM 18 Februari 2010 untuk membentangkan 'treatment'. Treatment di terima baik.

2. Mula membuat skrip bermula pada 1 Mac, 2010

3. Skrip siap dan diemail kepada Layar Consult Sdn Bd pada 10 Mac, 2010

4. Shooting akan bermula sekitar akhir Mac, 2010.

5. Pita perlu dihantar ke pihak RTM selewatnya pada 15 Mei, 2010

6. En Muhammad Murali akan mengarahkan drama ini.

Itu la sedikit sebanyak prosedur penerbitan drama telefilem untuk stesyen RTM.

Friday, March 5, 2010

PROJEK PEMBINAAN PUSAT PENYELIDIKAN ANGKASA LEPAS DI LBJ, SEREMBAN


Dr Sheikh Muszaphar Shukor angkasawan pertama Malaysia telah mengumumkan pelancaran projek Pusat Penyeledikan Angkasa Lepas sempena majlis pelancaran buku A Memoir of Malaysia's First Angkasawan - Journey to Space di Kuala Lumpur semalam (4 Mac, 2010).


Seperti yang dinyatakan oleh Dr Sheikh Muszaphar, Pusat Penyelidikan Angkasa Lepas tu akan dibina di di kawasan seluas lapan hektar di LBJ, Seremban pada 2012.


Saya menulis tentang ini kerana suami saya Mohd Ashik terlibat di dalam projek ini. Pada hujung tahun lepas (2009) abang kepada angkasawan pertama ini iaitu Sheikh Taufik telah bercerita tentang hasrat adiknya itu untuk membina satu pusat angkasa lepas di Malaysia. Ashik dengan Sheikh Taufik berkawan sejak di sekolah menengah lagi. Sheikh Taufik bersekolah sama dengan kami di Sek King George V, Seremban. Namun adiknya itu mengalami sedikit kesukaran kerana tidak mendapat kawasan pembinaan yang sesuai di atas pelbagai sebab.


Ashik telah menyatakan yang dia mungkin boleh membantu untuk mendapatkan kawasan tapak projek yang sesuai di Negeri Sembilan. Sheikh Taufik berkata yang adiknya itu memang kalau boleh hendak membina pusat tersebut di tanah kelahirannya iaitu Negeri Sembilan.


Ashik telah berusaha bertemu dengan pihak yang berkemungkinan mempunyai tapak yang sesuai. Kemudiannya setelah beberapa pertemuan lanjut, jurutera angkasa yang menjadi wakil Dr Sheikh Muszaphar dari segi teknikal untuk projek ini , Sam Gibbs, telah pergi melawat tapak dan membuat beberapa kajian untuk memastikan kesusaian tanah, kawasan dan sebagainya.


Hasilnya positif. Sam Gibbs berpendapat kawasan tersebut sesuai untuk dijadikan tapak projek. Mendapat laporan positif dari Sam Gibbs, Dr Sheikh Muszaphar pun turut bersetuju dengan kawasan yang telah dikenal pasti itu.


Kawasan tapak projek tersebut memang strategik. Terletak lebih kurang 30km dari KLIA, kawasan tersebut dipenuhi dengan pelbagai projek terbaru seperti institusi-institusi pengajian tinggi, bandar perubatan (medical city), projek-projek perumahan yang canggih dan pelbagai lagi. Kalau pandai memasarkan Pusat Penyelidikan Angkasa Lepas insyaAllah pusat ini akan memberikan pulangan yang baik.


Ashik seronok kerana sedikit sebanyak dia menyumbang di dalam projek ini dan lebih menyeronokkan baginya kerana projek ini bakal dibina di tanah tumpah kelahirannya di kawasan Labu, Negeri Sembilan. Jikalau diizinkan Allah s.w.t projek ini dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada warga Labu. Dari segi peluang pekerjaan, pendedahan anak-anak Labu kepada sains angkasa dan sebagainya.


Jika sebelum ini kawasan Labu heboh dengan cadangan projek lapangan terbang Air Asia yang tidak jadi itu kini harapan untuk penduduk Labu mendapat satu projek baru yang juga berprofil tinggi insyaAllah bakal tercapai.


Semoga berhasil!


Oh ya saya sudah membaca buku A Memoir of Malaysia's First Angkasawan - Journey to Space oleh Dr Sheikh Muszaphar. Memang best. Segala persoalan tentang pengembaraan beliau ke angkasa lepas dari A-Z terjawab dengan baik sekali. Saya dapat bayangkan pengalaman yang dilalui beliau.


Laporan di Utusan Malaysia, 5 Mac 2010:


Rosmah cadang tubuh kelab astronomi kanak-kanak

KUALA LUMPUR 4 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mahu kelab astronomi kanak-kanak ditubuhkan selain memperkenalkan sains angkasa sebagai mata pelajaran di sekolah dan pusat pembelajaran di seluruh negara.


Menurutnya, inisiatif memasukkan mata pelajaran itu sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah juga amat digalakkan.


Beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan memandangkan hanya peratusan kecil ilmu sains angkasa diterapkan di sekolah, universiti dan institusi akademik di negara ini.

"Kelab-kelab astronomi itu bukan sekadar membolehkan kanak-kanak berinteraksi di kalangan mereka, malahan turut membantu mencungkil daya kreativiti dan imaginasi mereka.

"Sebaik sahaja mengenali dan memahami pentingnya bidang sains, ia akan memudahkan mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku A Memoir of Malaysia's First Angkasawan - Journey to Space di sini hari ini.

Menurut Rosmah, setelah membaca buku hasil Sheikh Muszaphar , beliau yakin ia akan menarik perhatian generasi muda menjadi angkasawan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, Datuk Seri Ismail Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Datuk Ng Tieh Chuan; Pengarah Urusan Kumpulan YTL Corporations, Tan Sri Francis Yeoh dan Pengerusi Malaysia Airline System Bhd., Tan Sri Munir Abd. Majid.

Buku berharga RM25 senaskhah itu mempunyai 10,000 cetakan pertama dan boleh dibeli di semua kedai MPH.

Versi bahasa Melayu, Kembara Ke Angkasa: Catatan Memoir Angkasawan Pertama Negara akan berada di pasaran dalam tempoh tiga bulan lagi.

Dalam perkembangan lain, Sheikh Muszaphar berkata, beliau dijangka memulakan projek pembinaan pusat penyelidikan angkasa lepas seluas lapan hektar di kawasan LBJ, Seremban pada 2012.

Menurutnya, pusat penyelidikan itu kelak diharap dapat menyediakan ruang kepada kanak-kanak, pelajar, guru dan ibu bapa mempelajari tentang perjalanannya ke angkasa lepas termasuk kelengkapan yang dibawa bersama.

Pihaknya merancang mengadakan program pakej untuk tempoh tiga hingga empat hari bagi memudahkan peserta mendekati ilmu astronomi dan falak di pusat tersebut.

Beliau juga bercadang membawa bersama jurutera angkasa lepas untuk membina sebuah muzium di pusat penyelidikan itu.

"Tanah yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu telah diperoleh dan kini dalam proses perbincangan dengan penaja, syarikat swasta dan korporat untuk pembinaan pusat tersebut.

"Diharap pusat itu dapat mendedahkan orang ramai mengenai ilmu astronomi atau sekurang-kurangnya nama-nama planet," katanya.

Mengenai bukunya itu, Sheikh Muszaphar berharap ia memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencapai impian sehingga menjadi kenyataan kerana tiada apa yang mustahil untuk dilakukan hari ini.