Persediaan ke Majlis -
Saya shopping baju untuk majlis tersebut di butik rakan sekolah saya dahulu butik Mawaddah di Seremban. Buat tudung di butik Chantek, Seremban dan mengupah jurumekap dari butik tersebut juga. Seronok bersedia untuk majlis ini!
Saya dan Ashik sebelum memasuki Dewan Merdeka.
Di Majlis -
Duduk berdekatan dengan Murali, Pengarah drama. Murali asyik bertanya samada saya berdebar. Saya pulak terus menjawab 'tak la sangat'. Sebenarnya saya memang tak berdebar sangat sebab saya sudah terlalu gembira dengan pencapaian Tak Serupa Tapi Sama. Apa-apa jadi pun malam itu saya sudah tidak kisah sangat. Kalau menang bonus! .
Ramai orang di dewan. Terus-terang suasana di dalam dewan hambar. Orang-orang di dalam dewan tidak begitu mesra di antara satu sama lain. Saya sebagai orang baru dalam industri terasa sangat aura hambar itu, Ashik pun rasa.
Menyaksikan persembahan dan penyerahan anugerah serta celoteh pengacara tidak membantu memulihkan rasa hambar itu. Semangat di dalam dewan - negatif.
Prestasi Tak Serupa Tapi Sama -
Ada 8 pencalonan untuk kategori drama (telefilem), Tak Serupa Tapi Sama mendapat 6 pencalonan akhir. Bravo!!!!
Pencalonan pertama - Lakon TV terbaik
Saya dicalonkan (Tak Serupa Tapi Sama) bertanding dengan Mufid Suhaimi (Terlerai Takbir Kasih), Erma Fatima (Tersasar Di Jalan Mu), Zuraida Ramli (Mama Nenek) dan ZH Emdee (Becha Usang). Kalah lagi pada Erma pula kali ini. Saya pernah dicalonkan untuk kategori ini pada tahun 2007, kalah pada Che Li. Waktu itu saya tidak hadir ke Anugerah Skrin kerana baru sahaja melahirkan Hessa.
Pencalonan Videografi terbaik -
Tak Serupa Tapi Sama tidak tercalon dalam kategori ini dan apabila Tersasar di Jalan Mu merangkul trofi ini saya sudah rasa Tak Serupa Tapi Sama tipis untuk menang kali ini kerana Tersasar di Jalan Mu sudahpun menang dua trofi. Namun masih menaruh harapan. Saya kata pada Murali 2 - 0. 2 untuk Tersasar Di Jalan Mu dan 0 untuk Tak Serupa Tapi Sama. Murali cuma senyum pahit.
Pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik -
Kak Shila Mambo tercalon untuk Tak Serupa Tapi Sama. Kalah pada Norish Ismail untuk Tersasar di Jalan Mu. Pada ketika ini saya dan Murali sudah hampir pasti Tak Serupa Tapi Sama tidak menang kali ini.
Pencalonan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik -
Dato' Ahmad Tarmimi MENANG! Kami gembira untuk beliau! Gembira juga kerana Tak Serupa Tapi Sama memecah dominasi Tersasar di Jalan Mu.
Pencalonan Pelakon Wanita Terbaik -
Fasha Sandha tidak dicalonkan atas tiket Tak Serupa Tapi Sama. Hairan juga..emmm...Rosnah Mat Aris menang. Sah! Tersasar Di Jalan Mu akan menang drama terbaik.
Pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik -
Fizz Fairuz untuk Tak Serupa Tapi Sama. Namun saya sudah mengagak Fizz sukar untuk menang. Wataknya tidak begitu menonjol dalam drama ini.
Pencalonan Pengarah Terbaik -
Erma menang dan Murali keluar dewan. Murali malas hendak menunggu hingga majlis tamat nanti susah nak balik.
Pencalonan Drama Terbaik -
Pada ketika ini semua sudah tahu siapa pemenangnya - Tersasar di Jalan Mu.
TAHNIAH! TERSASAR DI JALAN MU! TAHNIAH ERMA FATIMA! Saya tepuk begitu kuat dan lama untuk Erma.
Saya masih belum menonton drama Tersasar Di Jalan Mu. Namun untuk drama ini menang besar pada ASK 2009 ini tentu sahaja membuktikan drama ini cukup baik.
Saya akur kekalahan pada Erma, malah rasa bangga dapat bersaing dengan beliau. Erma bukan calang-calang pengkarya. Sudah terbukti rekod dan konsistensi beliau. Untuk saya berada dalam satu persaingan dengan Erma adalah satu pencapaian yang cukup baik! Bravo Faznita!
Sejarah dengan Erma Fatima -
Saya adalah penulis untuk drama bersiri Sumayyah yang menang drama bersiri terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2006. Erma adalah pengarah drama ini. Erma menghormati penulis walaupun terlalu hijau seperti saya. Pada waktu itu saya baru sahaja menulis, Sumayyah adalah skrip kedua saya. Erma meminta untuk berjumpa dengan penulis bagi menjelaskan kepada beliau aspirasi drama ini.
Erma juga banyak menglibatkan saya dalam drama ini, menjelaskan pelbagai perkara yang mahu dibuatnya di dalam drama ini. Saya tabik dengan kesungguhan beliau! Bila Sumayyah menang saya cukup gembira, kesungguhan Erma menterjemahkan penulisan saya berbaloi!
Bergambar dengan Kak Aznah Hamid pelakon Tak Serupa Tapi Sama dengan Maizura Mohd Ederis, penulis Datin Wannabe yang menang kategori drama bersiri komedi terbaik. Tahniah Maizura! Maizura juga penulis untuk drama Nur Kasih.
Komen untuk Anugerah Skrin -
Celoteh pengacara perlu dikurangkan di digantikan dengan segmen yang sepatutnya ada iaitu segmen memperkenalkan drama-drama yang berjaya masuk ke pencalonan terakhir. Di dalam segmen itu jelaskan lah apa yang tersirat dan tersurat di dalam setiap drama tersebut. Drama-drama ini adalah nadi dan jantung kepada majlis penganugerahan ini. Berilah drama-drama ini ruang yang secukupnya di dalam majlis ini. Tidak cukup untuk setakat menyebut nama drama ini sahaja.
Di majlis anugerah Emmy di Hollywood contohnya setiap drama yang dipertandingkan di kenalkan dengan begitu baik kepada audiens.
Kesimpulan -
Dari 6 pencalonon Tak Serupa Tapi Sama menang satu. Saya dan Ashik tetap terlalu seronok.
Sebenarnya sungguh beruntung orang-orang di dalam industri ini. Contohnya saya. Saya berkarya dan dengan karya saya dapat meluahkan apa yang terbuku di hati, berkongsi isu yang dekat di hati dengan ramai orang. Dari karya itu saya mendapat rezeki. Selepas di tayangkan karya itu samada mendapat puji atau keji. Orang sanggup meluangkan masa untuk memuji atau mengeji adalah suatu penghormatan jua. Selepas itu ada pula majlis penganugerahan khas untuk karya kami! Bila kalah tetap bersyukur ada pihak sanggup bersusah payah untuk menilai kami. Bila menang lagi la gembira.
Namun setelah tamatnya Anugerah Skrin 2009 ini ada satu perasaan timbul di dalam hati saya - saya suka akan persaingan ini! Rasa seronok bersaing dengan tokoh-tokoh besar di dalam industri drama negara! Ya kalau ada rezeki saya nak bersaing dengan mereka-mereka lagi!!! Mana tau satu hari nanti nama kecil seperti saya dapat mengalahkan mereka!!
Yang pasti Faznita akan berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik lagi!
Anugerah Skrin 2009 tamat dengan selamatnya. Yang paling saya seronok juga adalah saya dapat melalui pengalaman dicalonkan dan hadir ke anugerah ini dengan Ashik. Melalui semua pengalaman ini dengan Ashik adalah satu nikmat dari Allah s.w.t Suami saya menjadi pendorong, penyokong dan teman yang baik untuk saya dalam menjalani suka duka industri penerbitan drama Malaysia. Semoga kami terus menjadi pasukan yang baik pada masa-masa yang akan datang.
Senarai Pemenang ASK2009
· Drama Terbaik : Tersasar Di Jalanmu (RTM)
· Lakon TV Terbaik : Erma Fatima (Tersasar Di Jalanmu)
· Pengarah Drama Terbaik : Erma Fatima (Tersasar Di Jalanmu)
· Pelakon Lelaki Drama : Que Haidar (Telerai Takbir Kasih)
· Pelakon Wanita Drama : Rosnah Mat Aris (Tersasar Di Jalanmu)
· Pelakon Pembantu Lelaki Drama : Ahmad Tarmimi Sarigar (Tak Serupa Tapi Sama)
· Pelakon Pembantu Wanita Drama : Norish Ismail (Tersasar Di Jalanmu)
· Drama Komedi Terbaik : Datin Wanabe (TV3)
· Drama Rantaian Terbaik : Kekasihku Seru (TV3)
· Videografi Terbaik : Tersasar Di Jalanmu
· Filem Terbaik : Wayang
· Lakon Layar Terbaik : Fariza Azlina Ishak (Kami The Movie)
· Pengarah Filem Terbaik : Prof Dr Hatta Azad Khan (Wayang)
· Pelakon Lelaki Filem Terbaik : Eman Manan (Wayang)
· Pelakon Wanita Filem Terbaik : Liyana Jasmay (Kami The Movie)
· Pelakon Pembantu Lelaki Filem : Zulhuzaimi (Wayang)
· Pelakon Pembantu Wanita Filem : Ida Nerina (Wayang)
· Laporah Khas/Berita Terbaik : Buletin Utama - Air Najis (TV3)
· Rancangan Dokumentari/Majalah Terbaik : Majalah 3 Gaza (TV3)
· Rancangan Hiburan Terbaik : Kemuncak Sehati Berdansa 2 (Astro Ria)
· Rancangan Realiti Terbaik : Gadis Melayu (TV9)
· Rancangan Bual Bicara Terbaik : AC Di sini (Astro Ria)
· Rancangan Muzikal Terbaik : Anugerah Juara Lagu 23 (TV3)
· Anugerah Khas Juri Yasmin Ahmad : Jaclyn Victor (Talentime).
